TUKAR ke Peruncitan Moden
11th February, 2011

Peluang terbuka luas kepada koperasi atau peniaga runcit yang mahu bergiat aktif dalam peruncitan moden



Peluang terbuka luas kepada koperasi atau peniaga runcit yang mahu bergiat aktif dalam peruncitan moden.Itu adalah sebahagian matlamat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan apabila melancarkan Projek Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) dalam sektor Pemborongan dan Peruncitan di Johor baru-baru ini.

Ia merupakan salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Menurut menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, program TUKAR akan membantu menaiktaraf kedai runcit sedia ada, termasuk milik koperasi kepada yang lebih moden dan seragam. Dalam aspek ini, sejumlah 500 kedai runcit traditional milik koperasi yang dikenal pasti diseluruh Negara akan dimodenkan menerusi pelaksanaan TUKAR. Ismail Sabri memberitahu, kedai runcit terpilih itu merupakan kumpulan perintis sebelum bilangannya ditambah menjadi 5,000 menjelang 2020. Langkah terbabit bertujuan memodenkan kedai runcit berkenaan bagi meningkatkan tahap daya saing dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif, sekali gus pelaksanaannya dijangka dapat menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar sebanyak RM 5.56 billion serta mewujudkan 51,540 peluang pekerjaan menjelang 2020. Mydin, Carrefour dan Tesco akan berperanan sebagai perunding pelaksanaan projek TUKAR.Ketiga -tiga pengendali pasar raya besar ini akan membantu peruncit tradisional dalam bidang khidmat nasihat pemodenan, penyediaan pelan latihan peruncitan dan sebagainya. Ini adalah sebahagian sumbangan syarikat terbabit dalam memenuhi tanggungjawab social korporat untuk membangunkan sektor pemborongan dan peruncitan tempatan,katanya pada pelancaran program TUKAR di Segamat.